“Dulu ada garis panduan larang lawan kelab”

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Dr Ibrahim Saad menggesa badan induk itu mengurangkan pembabitan Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab.

Beliau berkata, perlawanan itu tidak memanfaatkan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal malah boleh menjejaskan maruah andai kalah kepada pasukan kelab kurang ternama terutamanya dari divisyen dua dan sebagainya.

“Sewaktu saya menjadi Setiausaha Agung (dari 2005-2007), kita (FAM) mengeluarkan satu garis panduan yang melarang jurulatih kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab melainkan perlawanan berkenaan atas tiket jemputan.

“Perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab juga tidak memberikan sebarang mata kepada sesebuah negara. Saya hairan bagaimana FAM kerap mengadakan perlawanan sedemikian sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Skuad Harimau Malaya, yang kini berada di Jepun untuk aksi persahabatan terus mempamerkan aksi longlai selepas diaib 0-5 oleh pasukan tangga kedua tercorot Divisyen Satu Liga J, Shonan Bellmare pada perlawanan kedua, Sabtu lalu.