Dua remaja parah akibat meriam buatan sendiri

Alor Setar: Keseronokan sekumpulan remaja lelaki bermain meriam buatan sendiri di Taman Bersatu, Baling dekat sini malam kelmarin membawa padah apabila dua daripada mereka melecur teruk di muka dan tangan selepas meriam tersebut tiba-tiba meletup.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Aiman Amzar Jamsari, 13, dan Mohamad Hanif Mohd Nawi, 14, dikatakan bermain dengan 15 rakannya di Padang Permainan Taman Bersatu, Baling, tiba-tiba menjerit kesakitan selepas mercun itu terkena muka mereka.

Difahamkan, mangsa terbabit adalah kes pertama yang terkena mercun di negara ini ketika umat Islam baru menyambut hari pertama bulan Ramadan, semalam.

Muhammad Aiman melecur di muka dan jari kanan dimasukkan ke ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini manakala Mohamad Hanif melecur di muka dan masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

MUHAMMAD Aiman menerima rawatan di HSB.

Difahamkan, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di taman perumahan itu yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian seorang diri, tetapi ketika kejadian ibu bapa serta adiknya tiada di rumah kerana menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran.