Cinta Abby berputik di pasar raya

Kuala Lumpur: “Ajal maut dan jodoh adalah rahsia Allah dan saya tak sangka kami bernikah secepat ini kerana baru dua minggu berkenalan. Tetapi, itu ketentuan Allah yang tiada siapa mampu menolaknya,” kata Abby Abadi yang mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24.

Abby sudah lima tahun hidup bersendirian selepas bercerai dengan aktor Norman Hakim.

Menceritakan detik indah pertemuannya dengan jejaka itu, menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 36, mereka bertemu di sebuah pasar raya di ibu kota dan masing-masing saling berpandangan.

“Pada pertemuan yang tidak disangka itu kami saling memandang dan mengerling antara satu sama lain.

Selepas itu adalah dua tiga kali kami berhubung kerana saya sibuk menguruskan butik Muslimah di Taman Melawati.

“Ketika itu kami membahasakan diri adik dan kakak. Dalam masa dua minggu berkawan, dia menyuarakan hasrat hati mahu menjadikan saya teman wanitanya, tetapi saya kata dalam Islam mesti ada hubungan yang sah jika tidak, hubungan itu hukumnya haram. Terus dia melamar saya dan saya kata kepadanya, ‘beraninya awak melamar saya.’

Mereka bernikah pada 9 Julai lalu iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan.

“Apa yang kami lakukan semua ini adalah kerana Allah. Saya tak tahu nak kata apa kerana ini adalah jodoh daripada-Nya. Saya berharap agar semua pihak mendoakan kebahagiaan kami sehingga akhir hayat,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat di sini.

Abby bagaimanapun enggan mendedahkan di manakah mereka diijabkabulkan sehinggalah beberapa perkara selesai.

Tambah Abby, dia tahu ada yang akan memberi respons positif dan negatif mengenai perkahwinannya itu, namun dia percaya apa yang dilakukan mereka adalah perkara yang baik dan ia adalah jodoh.

Dalam pada itu, beritahu Abby lagi, Farhan merupakan anak kelahiran Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan dan dia bakal berjumpa dengan keluarga suaminya itu selepas berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut, Terengganu.

ABBY bersama suaminya, Farhan.

“Alhamdulillah, kedua-dua keluarga kami merestui perkahwinan ini walaupun mereka terkejut pada mulanya. Ini pun saya baharu nak berkenalan dengan keluarga suami di Kelantan selepas PRK nanti.

“Saya dapat rasakan perkahwinan ini juga adalah sesuatu yang menenangkan lebih-lebih lagi melihat wajah suami yang sentiasa tenang dalam apa-apa jua situasi,” ujarnya.

Pasangan tersebut bercadang akan mengadakan resepsi perkahwinan mereka pada 31 Ogos depan dan majlis di pihak lelaki pula akan diadakan seminggu selepas itu.

Bagaimanapun, lokasi masih belum ditetapkan lagi.

Abby sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5.