Cikgu ponteng dijumpai parah ditembak

Pasir Mas: Penduduk Kampung Kubang Panjang, di sini, gempar apabila menemui seorang guru di sebuah bangsal dalam keadaan berlumuran darah akibat ditembak, semalam.

Mangsa ialah seorang guru yang dalam proses dikenakan tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas sejak dua bulan lalu.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Mat Zaki Hashim, 35, dari Kampung Tualang Bunut, di sini, dikatakan berhenti berhampiran sebuah bangsal akibat kehabisan minyak.

Mangsa dikatakan duduk di bangsal berkenaan sambil meminta tolong selepas dipercayai ditembak di tempat lain sebelum memandu keretanya itu.

Mangsa yang cedera parah di leher kiri kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas oleh seorang penduduk kampung sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Penduduk kampung, Jaharah Abu Bakar, 58, berkata, dia melihat ramai penduduk kampung berkumpul di bangsal berkenaan selain kehadiran polis.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terlibat menembak Mat Zaki Hashim, 35, dari Kampung Tualang, Bunut Susu, Pasir Mas.

Menurut Jalaluddin, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu selepas mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas oleh seorang lelaki berusia 50-an dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Kembara pada pukul 12.15 tengah hari.

“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dekat sini dan keadaannya dilaporkan stabil. Kita sedang mengenal pasti motif dan suspek terlibat.

“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan guru di sebuah sekolah kebangsaan di Tumpat yang dalam proses dikenakan tindakan tatatertib kerana dua bulan tidak hadir bertugas,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.