Chelsea janji tampil lebih garang

SHAH ALAM – Harimau Malaya tidak boleh menganggap kedatangan Chelsea ke Malaysia sekadar makan angin jika tidak mahu menjadi mangsa dimalukan kelab Liga Perdana Inggeris itu dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, esok

Pertahanan skuad Blues, Gary Cahill menegaskan mereka bakal beraksi lebih mantap apabila menentang Malaysia esok setelah hanya menang tipis 1-0 ke atas skuad Pilihan Thailand dalam perlawanan di Bangkok, Rabu lalu.

Esok merupakan perlawanan kedua Jose Mourinho sejak kembali melatih The Blues selepas meninggalkan Real Madrid.

Menurut Cahill, pertemuan dengan Malaysia mungkin tidak jauh bezanya dengan Pilihan Thailand tetapi mereka harus berusaha lebih keras lagi dan menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua di bawah bimbingan Mourinho, esok.

“Kami perlu lebih tajam lagi, begitu juga dengan tahap kecergasan kami, harus dipertingkatkan dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan Malaysia,” katanya kepada media selepas latihan selama sejam lebih di Stadium Shah Alam semalam.

Ditanya mengenai latihan dan suasana di Malaysia, Cahill berkata, semuanya berjalan lancar, baik sesi latihan, stadium dan hotel sedikit pun tidak mencatatkan persiapan mereka.

“Sesi latihan kendalian Mourinho memang amat keras, mungkin beberapa pemain sudah biasa dengannya. Ini adalah kelab yang bagus, jadi sesi latihan amat penting buat kami, perpindahannya ke Chelsea satu keputusan yang tepat,” katanya.

Cahill, 27, turut mengakui bahawa persaingan dalam pasukan Chelsea juga begitu berat selepas beberapa pemain seperti John Terry dan David Luiz terpaksa berebut tempat kesebelasan utama bagi posisi pertahanan tengah.

“Memang akan berlaku satu persaingan di sini bagi merebut posisi, saya harus bekerja keras dan memastikan saya memperoleh tempat. Ia juga amat penting buat semua pemain,” kata Cahill yang turut mencari ruang untuk beraksi di Piala Dunia 2014 Brazil.

Bekas pertahanan Bolton Wanderers dan Aston Villa itu beraksi pada separuh masa kedua ketika bertemu Pilihan Thailand Rabu lalu dan berjaya mengekang asakan lawan daripada membolosi gawang Blues.

Dalam masa sama, Cahill turut memuji kehadiran dua pemain baru dalam skuad Chelsea, Andre Schurrle dan Marco van Ginkel selepas kedua-dua pemain itu berlatih bersama-sama dan beraksi buat pertama kali Rabu lalu.

“Mereka merupakan dua pemain muda yang bagus, saya lihat mereka mempunyai kualiti luar biasa, kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat membantu pasukan. Seperti saya katakan sebelum ini mereka nampak hebat di dalam latihan,” katanya. [utusan]