Budak ditinggal bapa ditemui merayau di tasik

SERDANG – Tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki meninggalkan anak perempuannya yang berusia tiga tahun seorang diri di rumah nyaris mengundang padah apabila kanak-kanak itu diselamatkan selepas ditemui merayau-rayau semalam.

Mangsa yang lengkap berpakaian ditemui bermain seorang diri pada pukul 3 pagi berhampiran sebuah tasik di Taman Wawasan, Puchong, kira-kira satu kilometer dari rumah keluarganya.

Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, mangsa diselamatkan seorang lelaki yang juga ahli persatuan itu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan sama.

“Pada mulanya, dia menyangka kelibat itu adalah hantu namun sebaik diamati rupa-rupanya seorang budak perempuan.

“Lelaki itu cuba mendapatkan maklumat keluarga budak itu namun gagal kerana dia tidak memahami Bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Lelaki itu kemudian menyerahkan mangsa kepada polis.

Difahamkan bapa budak itu telah membuat tuntutan untuk mendapatkan anaknya kembali. [Kosmo]