Barclays Asia Trophy bawa kesan buruk kepada kelab EPL

HONG KONG – Pasukan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadikan Asia sebagai destinasi pilihan untuk menambah kekayaan dan membangkitkan lagi keghairahan penyokong terhadap bola sepak Inggeris, tetapi sebaik sahaja pulang ke tanah air mereka berdepan masalah kecergasan yang melanda para pemain.

Sekurang-kurangnya dua pemain tonggak iaitu Jan Vertonghen dari Spurs dan pemain Manchester City, Matija Nastasic terpaksa berdepan dengan masalah kecederaan pada perlawanan persahabatan yang memberi keuntungan kepada kelab.

Namun, buat pemain pula risiko yang dihadapi ialah mereka terlepas aksi pembukaan musim yang akan melakukan sepak mula dalam tempoh tidak sampai tiga minggu.

Bintang Manchester United, Wayne Rooney yang berada di Bangkok tidak sampai 24 jam telah dibelenggu dengan masalah kecederaan hamstring ketika sesi latihan dan segera dihantar pulang ke Britain bagi menjalani pemulihan.

Pemain itu dijangka kembali ke pangkuan pasukan sebelum musim bermula iaitu pada 6 Ogos ini.

Kunjungan ke Asia menjadi sumber pendapatan yang amat penting untuk kelab menerusi perjanjian dengan televisyen serta penaja, bayaran daripada perlawanan persahabatan dan juga hasil jualan produk rasmi kelab.

Sementara kelab meraih keuntungan menerusi jelajah benua tersebut, jurulatih dan para pemain pula mendedahkan yang mereka keletihan akibat jadual yang padat.

Pengurus Spurs, Andre Villas-Boas secara terbuka melahirkan rasa kurang senang terhadap projek jelajah tersebut yang menyaksikan Vertonghen, pemain tonggak di bahagian pertahanan mendapat kecederaan buku lali ketika beraksi di Hong Kong, manakala rakan sejawat iaitu pengurus Sunderland, Paolo Di Canio menyifatkan padang tersebut sebagai ‘padang pembunuh’.

“Jika saya boleh berlaku jujur, saya memilih untuk tidak bermain, tetapi inilah realitinya yang perlu kami hadapi,” kata warga Portugal itu menjelang perlawanan persahabatan menentang South China.

Selepas menyaksikan pasukannya membelasah kelab tempatan 6-0, Villas-Boas berkata, dia berasa lega kerana para pemainnya tidak ditimpa kecederaan pada pertemuan tersebut.

Tidak lama selepas Spurs beraksi, pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mendapati dirinya berada dalam situasi yang sama dengan Villas-Boas apabila pemain tengah, Nastasic turut tercedera di Stadium Hong Kong, selepas sehari sebelum perlawanan hujan yang turun menyebabkan padang berada dalam keadaan lecak dan licin.

Pemain muda Serbia itu mengalami kecederaan buku lalu, Pellegrini enggan menyalahkan keadaan permukaan padang yang berlumpur sebagai punca.

Kesakitan yang dialami Nastasic menyebabkan dia terpaksa diusung keluar padang di depan 40,000 penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut. – AFP