Amah lari daripada majikan ditahan bersama ‘tomboy’

SEREMBAN – Tindakan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang lari dari rumah majikannya di sini semata-mata untuk bersama seorang ‘tomboy’ akhirnya membawa padah apabila pasangan itu ditahan pihak imigresen di sebuah premis perjudian di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang kakitangan awam yang bertugas di sini bahawa pembantu rumahnya yang berusia 26 tahun tidak pulang selepas bercuti sejak Jumaat lalu.

Katanya, pembantu rumah itu yang sudah enam bulan bekerja pada mulanya mahu bercuti selama tiga hari dengan alasan mahu membeli kelengkapan hari raya.

“Pada petang semalam (kelmarin) majikan pembantu rumah itu ada menghubungi wanita tersebut tetapi panggilannya dijawab oleh wanita lain yang memberitahu bahawa pembantu rumahnya tidak mahu pulang kerana sakit.

“Kerana curiga dengan alasan pembantu rumah tersebut, majikan wanita itu telah membuat aduan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, susulan daripada laporan itu, pihaknya telah membuat siasatan lanjut sebelum hasil risikan berjaya mengesan wanita berkenaan bekerja di sebuah pusat perjudian di Petaling Jaya.

Menurutnya, berikutan itu, pegawai kanan terbabit berusia 30-an membuat laporan sebelum Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menghantar Unit Risikan mengesan serta menyiasat kes itu. “Kami berjaya menjejaki pembantu rumah itu bersama kekasihnya dipercayai bekerja sebagai penjaga kaunter di pusat perjudian berkenaan.

“Turut ditahan dua lagi wanita Indonesia termasuk ‘kekasih’ pembantu rumah terbabit berusia 24 dan 27 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas,” katanya. Beliau berkata, siasatan mendapati pembantu rumah itu mengikut kekasihnya dengan rela dan kes disiasat mengikut Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah.