19 anggota bomba AS terbunuh di Arizona

LOS ANGELES – Sekurang-kurangnya 19 anggota bomba maut semasa bertarung memadamkan kebakaran belukar di Arizona, kata pejabat Sherif Yavapai lewat kelmarin.

Jurucakap pejabat berkenaan, berkata, semua anggota bomba itu terbunuh tengah hari kelmarin semasa cuba mengawal kebakaran belukar di Bukit Yarnell, utara Phoenix.

Beliau tidak dapat mengesahkan sama ada mereka yang maut merupakan 19 anggota bomba yang dilaporkan hilang pada awal hari yang sama oleh agensi Jabatan Perhutanan Negeri Arizona.

Kebakaran itu yang tercetus pada Jumaat lalu meliputi keluasan antara 323 hektar hingga 404 hektar.
Beberapa pegawai berkata, penduduk di Bukit Yarnell dan Lembah Peeples sedang dipindahkan ke tempat selamat.

Laman web tempatan, Arizona Republic melaporkan kebakaran tersebut merebak dengan cepat dan gagal dikawal setakat awal semalam.

Pihak berkuasa menganggarkan sekitar 250 kediaman di bandar Bukit Yarnell akan musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu dalam satu kenyataannya semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyifatkan semua 19 anggota bomba tersebut sebagai wira negara.

“Mereka adalah wira yang terdiri daripada anggota-anggota profesional. Mereka sanggup menyabung nyawa bagi melindungi harta-benda dan rakyat AS yang tidak pernah mereka temui,” kata Obama. – Agensi