World War Z : Brad Pitt, Bukan Tua Sebarangan

Seperti yang anda ketahui, filem terbaru lakonan Brad Pitt telah pun menerjah panggung-panggung berdekatan bermula hari ini!

Filem yang berjudul World War Z adalah sebuah karya adaptasi dari novel yang sangat-sangat berbaloi untuk ditonton. World War Z versi layar perak ini diarahkan oleh Marc Foster, orang yang sama mengarahkan filem James Bond : Quantum of Solace dan ternyata hasil kerjanya tidak mengecewakan.

Ramai yang bersetuju bahawa untuk mengangkat penulisan novel ke bentuk layar perak bukanlah perkara mudah. Namun begitu, Marc Foster bersama pelakon hebat seperti Brad Pitt dan penulis skripnya berjaya menjadikan World War Z sebuah filem wajib tonton tahun 2013.

Secara umumnya, WWZ menceritakan tentang seorang bekas pekerja di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bernama Gerry Lane (Brad Pitt) yang terpilih untuk menyertai misi menyelamat ketika satu wabak berjangkit menyerang dunia.

Kisah penuh debaran ini bermula dengan babak kekalutan apabila sekumpulan spesis manusia yang dijangkiti wabak itu menyerang bandar Philadelphia buat pertama kali.

stillshots-1

Dalam suasana kelam kabut, Gerry mencari jalan penyelesaian untuk membawa keluarganya ke tempat selamat yang jauh daripada ancaman itu.

Gerry akhirnya dibantu oleh kenalannya di PBB dan menemui tempat berteduh di tengah-tengah laut dalam sebuah kapal penyelamat.

Malangnya, Gerry dan keluarganya tidak ditempatkan di dalam kapal itu secara percuma. Dia diarahkan untuk menyertai misi menyelamat atau lebih tepat lagi mencari penawar kepada wabak itu. Ini bermakna dia harus meninggalkan isteri dan anak-anaknya disaat mereka memerlukannya.

WORLD WAR Z

Akur dengan arahan diberikan, Gerry mengembara dari New Jersey ke Korea Selatan, Israel dan Wales semata-mata untuk mencari punca dan penyelesaian kepada wabak yang mengubah manusia menjadi makhluk ganas.

Sepanjang pengembaraan, Gerry berdepan dengan pelbagai masalah dan ancaman serangan yang lebih teruk. Lebih malang lagi, satu-satunya doktor yang mampu mencari penawar wabak itu terbunuh di dalam salah satu serangan.

Konflik berterusan apabila isteri dan anak-anak Gerry dipindahkan ke sebuah kem pelarian yang lain kerana pihak kerajaan menganggap Gerry telah mati apabila mereka tidak mendengar khabar berita darinya selepas beberapa hari.

WORLD WAR Z

Mampukah Gerry Lane mendapatkan penawar yang diperlukan oleh seluruh dunia sedangkan dia sendiri tidak mempunyai latar belakang doktor? Persoalan lain, mampukah Gerry pulang ke pangkuan keluarganya dengan selamat? Segala-galanya akan terjawab bila anda menonton filem ini nanti.

Secara jujurnya, filem ini memang terbaik kerana berjaya mewujudkan perasaan gementar dan mengekalkan suasana penuh debaran sepanjang tayangan selama dua jam.

WWZ membuatkan penonton berasa seolah-olah mereka berada di dalam permainan video. Setiap minit yang berlalu adalah berisiko kerana tak siapa pun tahu apa yang bakal dihadapi. Malah, karakter zombie yang ganas dan menakutkan menambahkan lagi rasa gemuruh para penonton.

Penonton juga pastinya akan terhibur dengan lakonan mantap yang diberikan oleh Brad Pitt. Walaupun usia pelakon senior itu sudah lanjut namun prestasinya ketika melakonkan aksi berlawan patut diberikan pujian.

Pemilihan Brad Pitt sebagai watak utama juga adalah satu tindakan yang bijak. Kematangan dan faktor usia Brad Pitt seakan sesuai dengan karakter Gerry Lane yang sudah berkeluarga dan mempunyai banyak pengalaman dalam menghadapi krisis.

wwz
Secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini agak jelas dan setiap jawapan kepada persoalan utama berkenaan pencarian penawar itu berjaya dirungkai satu persatu dengan sempurna.

Bagi yang sudah tidak sabar, sila nantikan ketibaan World War Z dalam bentuk 3D di panggung-panggung berhampiran anda pada 20 Jun 2013. Jangan lepaskan peluang anda untuk merasai sendiri debaran yang dialami oleh Brad Pitt dalam menentang serangan makhluk-makhluk menakutkan itu.

Tapi sebelum itu, jom saksikan dulu trailer World War Z di bawah untuk membuatkan anda lebih teruja nak menonton filem ini.