Wang penajaan Telekom Malaysia tidak membazir

Itu yang dapat disimpulkan selepas ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal berpandangan matlamatnya ke Canberra dan Sydney, Australia selama dua minggu tercapai.

Di Australia, skuad negara dianggotai 26 pemain termasuk enam muka baru mengharungi tiga aksi persahabatan menentang Canberra FC (tewas 2-3), Sydney Olympic FC (menang 4-0) dan Marconi Stallions FC (tewas 0-2).

“Kami sudah mencapai matlamat apabila bermain dengan pasukan yang mempunyai fizikal lebih tegap. Saya puas hati dengan keberanian ditunjukkan pemain.

“Kami sudah memberi peluang kepada semua pemain dan saya sudah mendapat gambaran senarai 11, 18 atau 20 pemain. Ada pemain baru mempamerkan corak permainan yang bagus,” katanya.

Antara pemain baru yang menarik perhatian Rajagobal adalah pemain tengah berbakat PKNS FC, Mohd Nazmi Faiz Mansor dan pemain Negeri Sembilan, Nazrin Nawi.

“Kita sudah memberi ruang kepada Nazmi yang saya lihat mempunyai potensi baik, begitu juga Nazrin yang beraksi di sayap kiri. Saya ada nampak pemain baru yang bagus untuk memberi impak kepada pasukan walaupun ada beberapa pemain tidak disenaraikan.” Rajagobal turut gembira apabila penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali yang sering memanaskan bangku simpanan Johor Darul Takzim kembali cemerlang.

“Saya gembira Safee mendapat kembali keyakinannya. Ia petanda yang bagus.” Namun Rajagobal turut perlu memikirkan strategi terbaik andai penyerang berusia 29 tahun itu tidak dapat bersama skuad kebangsaan kerana ketumpulan jentera serangan negara terserlah tanpa kehadiran Safee menyebabkan mereka kecundang 0-2 pada perlawanan terakhir.

“Fizikal, teknik pemain Marconi Stallions amat bagus. Kita lebih banyak menyerang pada babak pertama tapi sentuhan penyudah agak tumpul. Pemain bermain dengan berani, menarik serta laju, aksi dipamer bagus berbanding dua perlawanan lalu.

“Namun tanpa Safee serta Safiq Rahim, aksi kita tidak begitu bagus. Pemain lain seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Asraruddin (Putra Omar), Mahali (Jasuli) dan Norshahrul (Idlan Talaha) nampak keletihan kerana sudah beraksi tiga perlawanan,” katanya mengulas kekalahan kepada Marconi Stallions FC.