[Video] Payung terjun berpusing, terhempas di padang

Ipoh: Seorang anggota polis cedera parah selepas payung terjunnya hilang kawalan ketika menjalani latihan penerjunan di kawasan Padang Tekah, Assam Kumbang dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Koperal Mohd Fauzi Rasid, 46, patah kedua-dua pahanya.

Mangsa yang bertugas di Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, dikatakan gagal mengawal payung terjunnya dan dilihat berpusing beberapa kali sebelum meluru laju ke permukaan dan terhempas di padang itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal ketika mangsa menjalani latihan bersama sebuah kelab payung terjun swasta.

Katanya, kejadian itu tiada kaitan dengan sebarang latihan pasukan polis, sebaliknya mangsa dikatakan menyertai aktiviti riadah bersama kelab persendirian.

“Punca sebenar bagaimana kejadian itu berlaku tidak dapat dipastikan lagi, tetapi mangsa kemudian dihantar ke Hospital Taiping (HT) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun dibawa keluar oleh ahli keluarga dan rakannya daripada hospital berkenaan, kelmarin kerana mahu memasukkannya ke sebuah hospital swasta untuk rawatan susulan.

Seorang kakitangan HT ketika ditemui pula berkata, mangsa dibawa keluar menaiki kenderaan peribadi dan tidak menggunakan ambulans hospital.

Usaha untuk mengesan kedudukan mangsa dengan menghubungi IPD Petaling Jaya juga tidak berhasil apabila pegawai bertugas memaklumkan tidak mengetahui maklumat mengenai perkara berkenaan.