Tiket pukal untuk VIP

Kota Bharu: Adakah benar wujud ‘ulat tiket VIP’ yang didakwa memiliki hubungan dengan ‘orang dalam’ membolehkan mereka membeli 500 hingga 1,000 tiket untuk sesuatu perlawanan penting membabitkan pasukan bola sepak Kelantan?

Persoalan itu timbul berikutan pendedahan seorang ulat tiket yang turut mendakwa golongan itu boleh dibahagikan kepada tiga kategori dengan dua yang lain ialah ulat tiket peringkat pertengahan dan kecil-kecilan atau ‘cap ayam.’

“Ulat tiket VIP yang mempunyai modal besar membeli tiket dengan jumlah banyak menerusi orang dalam dan boleh membeli 500 hingga 1,000 tiket sekali gus.

“Ulat tiket golongan pertengahan pula mendapatkan tiket daripada penaja manakala ulat tiket ‘cap ayam’ mendapatkan tiket di kaunter dengan mengatur ‘konco-konco’ yang berbaris seperti penonton lain,” kata lelaki mahu dikenali sebagai Zali yang mendakwa menjadi ulat tiket sejak 2009.

Zali tampil membuat pendedahan itu selepas banyak pihak menuding jari kepada ulat tiket sebagai punca penyokong Kelantan gagal membeli tiket final Piala FA sehingga mencetuskan kekecohan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV (SSMIV), kelmarin. [HMetro]