Tiga penyamun nyanyi ‘Ali Baba’

Segamat: Helah tiga lelaki memunggah batang paip PVC (polyvinyl chloride) bernilai kira-kira RM70,000 ke dua lori sambil menyanyi lagu Ali Baba dan 40 Penyamun gagal mengaburi kakitangan syarikat pemasangan paip air yang sempat menahan mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam di stor penyimpanan paip di Jalan Muar, dekat sini, tiga penyamun itu dipercayai berbuat demikian bagi menunjukkan seolah-olah biasa melakukan tugas berkenaan dan cuba mengelak dikesan kakitangan syarikat terbabit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata suspek berusia 23, 33 dan 43 tahun itu ditahan selepas kakitangan syarikat berkenaan menghubungi pasukan polis.

Seorang kakitangan syarikat konsesi pemasangan paip air yang dilantik menjalankan kerja berhampiran Kampung Lubok Bandan itu mengesyaki sesuatu yang ganjil apabila terdengar suspek menyanyikan lagu Ali Baba dan 40 Penyamun dengan kuat.

Suspek pura-pura tak dengar

Suspek turut didakwa berpura-pura tidak mendengar apabila ditanya mengenai surat pengesahan kerja pemunggahan paip PVC, katanya.

Mohd Kamil berkata, kakitangan berkenaan menghubungi jurutera tapak projek bagi mendapat kepastian berhubung surat arahan mengalihkan 164 batang paip PVC itu.
Bagaimanapun, katanya, jurutera itu menegaskan tiada arahan dikeluarkan mengenai pengalihan paip terbabit.

Beliau berkata, semua suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.