Tidak timbul isu mahu melancong

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan reaksi pantas berhubung isu seorang pegawai badan induk itu yang didakwa membawa isteri ke Slovakia baru-baru ini bagi tujuan ‘melancong’.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, pegawai yang dimaksudkan itu ialah Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah yang diberi tanggungjawab memantau latihan dan perkembangan skuad Harimau Muda A di Slovakia.

Menurut kenyataan FAM, Afandi telah melaksanakan tugas tersebut dengan sebaik mungkin, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa pengurus skuad Harimau Muda A itu ke Slovakia atas tujuan kepentingan peribadi.

“FAM ingin menjelaskan bahawa pengurus pasukan Harimau Muda A, Datuk Afandi Hamzah telah berlepas ke Slovakia pada 16 Jun 2013 untuk memantau latihan dan perkembangan pasukan yang berada di bawah tanggungjawab beliau.

“Beliau sepatutnya berada bersama pasukan sepenuh masa. Namun, disebabkan tugas harian beliau, maka beliau tidak dapat berbuat demikian.

“Pemergiannya adalah di bawah bidang tugas beliau di mana beliau dikehendaki melaporkan perkembangan terkini pasukan kepada Exco FAM yang akan bersidang pada 17 Julai 2013.

“Kunjungan ini amat penting bagi memantau persiapan pasukan menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar di mana FAM telah meletakkan sasaran untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya Sukan SEA lalu.

“Di dalam surat pemakluman sebelum berlepas, Afandi memberitahu bahawa beliau akan membawa keluarganya bersama ke Slovakia atas tanggungan beliau sendiri,” menurut kenyataan FAM itu.
Untuk rekod, Afandi merupakan pegawai FAM yang pertama melawat skuad Harimau Muda A yang telah berada di Slovakia sejak Mac lalu.

Kelmarin, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar mempersoalkan tindakan FAM menghantar skuad Harimau Muda ke Slovakia, sambil mendakwa sesi latihan di benua Eropah itu bertujuan untuk memudahkan pegawai pasukan dan isteri masing-masing melancong ke luar negara.

Dakwaan itu hadir beberapa hari selepas Annuar mempersoalkan wang berjumlah RM30 juta setahun yang diterima FAM menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M).
Justeru, FAM berharap kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu dapat menangkis segala tohmahan serta fitnah terhadap pegawai-pegawai FAM. [Kosmo]