Tidak perlu solat Jumaat

SINGAPURA – Pejabat Mufti Singapura semalam mengeluarkan fatwa bahawa penganut Islam di republik itu tidak perlu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat berikutan masalah jerebu yang semakin serius.

“Ini kerana jerebu memberi kesan negatif kepada kesihatan dan mungkin boleh mengancam nyawa,” kata pejabat Mufti Singapura.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya menunaikan solat Zohor di rumah atau di mana-mana sahaja.

Berdasarkan kepada data tahun 2012, umat Islam di Singapura mewakili kira-kira 13 peratus populasi keseluruhan Singapura.

Indeks jerebu Singapura semalam mencatat tahap kritikal iaitu 401 yang dilihat mampu mengancam nyawa mereka yang mengalami masalah kesihatan dan warga emas sekiranya keadaan kekal selama 24 jam.

Para pegawai Singapura dan Indonesia telah mengadakan perbincangan khas bagaimana untuk memadamkan api di kawasan perladangan di Sumatra yang menjadi punca jerebu.
Beberapa buah helikopter milik Indonesia juga telah dihantar ke lokasi untuk menjalankan aktiviti pembenihan awan bagi menghasilkan hujan. – AFP