Tiada perasaan malu buat Rajagobal

Kuala Lumpur: Seolah-olah tiada langsung perasaan malu, jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bertegas untuk enggan melayan sebarang kritikan dilemparkan terhadap skuad kendaliannya selepas tewas 2-3 kepada kelab pemain sambilan, Canberra FC di Canberra, Australia, Khamis lalu.

BH Sukan semalam melaporkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan betapa dia malu dengan kekalahan skuad Harimau Malaya itu dan berkata: “Saya tak tahu mana hendak letak muka kalau saya Rajagobal.”

Saya tidak mahu fokus atau nak ikut apa-apa laporan daripada surat khabar dan sebagainya. Fokus saya hanyalah untuk pasukan dan persediaan menghadapi perlawanan kedua serta ketiga,” Datuk K Rajagobal, jurulatih kebangsaan.

 Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut berkongsi pautan laporan berita itu di laman Facebook rasmi miliknya, semalam dengan meminta pandangan rakan laman sosialnya itu dan menariknya lebih 200 individu tampil meletakkan komen masing-masing setakat petang semalam.

Fokus pasukan

Namun menerusi laporan berita di sebuah stesen televisyen semalam, Rajagobal yang ditemubual di Sydney berkata, dia hanya mahu fokus terhadap baki dua perlawanan persahabatan menentang Sydney Olympic, esok dan Marconi Stallions, Khamis ini.

“Saya tidak mahu fokus atau nak ikut apa-apa laporan daripada surat khabar dan sebagainya. Fokus saya hanyalah untuk pasukan dan persediaan menghadapi perlawanan kedua serta ketiga.

“Saya tidak mahu memberi apa-apa komen kerana kita tahu apa yang terbaik untuk pasukan kita dan persediaan yang perlu dilakukan,” kata Rajagobal.

Pengendali berusia 57 tahun itu kini tampak tertekan untuk kembali meraih kemenangan berdepan Sydney Olympic, esok bagi mengembalikan semula keyakinan umum terhadap prestasi semasa skuad Harimau Malaya.

“Saya akan turunkan pemain yang difikirkan cukup cergas. Saya akan lihat dahulu sebelum memikirkan siapa yang perlu saya turunkan (esok). Kalau boleh, saya nak turunkan pemain yang dirasakan sesuai untuk menghadapi Sydney Olympic ini,” tambah Rajagobal.

Apapun, menang atau kalah pada baki dua perlawanan di Sydney itu, ia tidak akan memperbaiki ranking skuad Harimau Malaya akibat sanggup membatalkan dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Singapura, 4 dan 7 Jun lalu yang menawarkan mata ranking.

Nyata pendekatan dan perancangan Rajagobal ketika ini jauh berbeza dengan falsafah jurulatih baru Singapura, Bernd Stange dari Jerman yang jelas menganggap ranking itu penting ketika bercakap pada sidang media selepas Singapura menang 2-0 ke atas Myanmar di Yangon, Selasa lalu, aksi pertama di bawah kendaliannya.

“Kami akan cuba mengejar kedudukan Myanmar dalam ranking FIFA. Seperti yang saya katakan, kami akan melakukannya selangkah demi selangkah. Ia mengambil masa,” kata Stange pada sidang media berkenaan. [BH]