Tiada alasan kalah lagi

JIKA pasukan berstatus kelab sukar untuk ditewaskan, lupakan sahaja hasrat menyambar tiket pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

Itu reaksi seorang legenda bola sepak kebangsaan terhadap skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan kedua berdepan Sydney Olympic FC di Padang Sukan Belmore, Sydney hari ini (5 petang waktu Malaysia).

Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, sebarang keputusan dalam aksi tersebut tidak memberikan apa-apamakna buat skuad Harimau Malaya.

Sebaliknya, ia hanya mengundang kecaman banyak pihak, terutamanya apabila Harimau Malaya dimalukan Canberra FC dengan kekalahan 2-3 minggu lalu.

“Kita pasukan kebangsaan, mengapa perlu berdepan pasukan berstatus kelab.

“Jika tewas, bukankah kita juga yang malu besar? Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tewas (berdepan Sydney Olympic hari ini) selepas tumpas kepada Canberra tempoh hari.

“Sekiranya pasukan berstatus kelab pun sukar untuk kita tewaskan, saya tidak nampak sebarang kemungkinan kita mampu mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merahsiakan pertukaran pasukan yang akan ditentang Harimau Malaya dalam baki dua lagi aksi di Australia.

Mengikut jadual asal, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal sepatutnya berdepan Marconi Stallions hari ini.

Namun, ia dipinda Khamis depan manakala aksi berdepan satu lagi pasukan iaitu Sydney United yang sepatutnya berlangsung pada hari yang sama pula dibatalkan.

Pada 3 Jun lalu, laman Twitter rasmi Sydney Olympic juga mengesahkan bakal berdepan Harimau Malaya hari ini.

Sehingga semalam, masih tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan FAM berhubung perkara itu.
“Saya hairan dengan situasi ini, mengapa ia perlu dirahsiakan?

“Saya akui, atas kertas reputasi Sydney Olympic juga bukan calang-calang kerana muncul naib juara Liga South Wales musim lalu.

“Bagaimanapun, ada baiknya ia dimaklumkan kepada umum bagi mengelak sebarang spekulasi,” jelasnya.

Untuk rekod, siri jelajah Australia itu merupakan persiapan Rajagobal membentuk barisan terbaik sebelum berdepan Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam aksi peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober depan.

Ketika ini, skuad negara menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan tiga mata selepas dikecewakan Qatar 0-2 sebelum kembali bangkit mengecewakan Yemen 2-1 di Stadium Shah Alam, 22 Mac lalu.

Harimau Malaya juga bakal berdepan Chelsea pada 21 Julai dan Barcelona (10 Ogos) dalam dua lagi aksi persahabatan sebelum menyambung misi dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015. [Kosmo!]