Solskjaer antara calon pengurus Everton

LONDON – Bekas penyerang Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer muncul sebagai ‘calon kejutan’ untuk merebut jawatan pengurus Everton.

Begitupun, kelibat pengendali dari Norway itu masih dalam pertimbangan pengerusi Everton, Bill Kenwright yang masih dalam misi untuk mencari pengganti David Moyes di Goodison Park.

Solskjaer kini berada dalam pertengahan musim liga Norway dan beliau juga pernah dikaitkan untuk menyertai beberapa lagi kelab Liga Perdana England iaitu Aston Villa, Blackburn dan Stoke City.

Selepas menjadi jurulatih di United pada musim 2007-2008, beliau pernah mengendalikan pasukan simpanan sebelum menerima jawatan sebagai ketua jurulatih di Molde pada 2011.

Beliau membawa kelab itu menjuarai gelaran liga pada 2001 dan 2012, namun kini Molde berada di kedudukan kedua tercorot selepas 12 perlawanan untuk musim ini.

Selain Solskjaer, beberapa pengurus lain yang turut mencuba nasib ialah Roberto Martinez, Ralf Rangnick dan Vitor Pereira.

Bagaimanapun, Alan Stubbs, David Weir dan Phil Neville yang sudah berada bekerja lama di kelab tersebut turut menjadi calon sebagai pengurus pasukan.

Bekas penjaga gol Everton, Neville Southall yang beraksi untuk pasukan tersebut hampir dua dekad berkata, kelab itu harus melantik orang dalaman daripada memberikan jawatan tersebut kepada pengurus Wigan, Martinez.

“Saya rasa lebih gembira jika Everton melantik calon yang sudah bersama kelab atau pengurus yang baharu yang pernah memenangi gelaran.

“Tidak kisahlah calon itu memenangi trofi bersama liga lain sama ada di Sepanyol, Perancis atau Jerman. Saya mahu seseorang yang tahu apa itu nilai kejuaraan.

“Everton juga harus memastikan pengurus yang akan dilantik nanti mempunyai pengetahuan sejarah kelab dan memahami apa yang penyokong mahukan,” kata Southall. – Agensi