Skuad Revington tewas kepada kelab dari China

Kuala Lumpur: Malaysia menerima aib apabila tewas 3-4 kepada pasukan berstatus kelab China Liaoning Province pada perlawanan persahabatan ketiga di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.

Meskipun sekadar perlawanan ujian, anak buah Paul Revington sepatutnya lebih serius dan memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol.

Malah Revington turut kecewa dengan persembahan anak buahnya kerana kekalahan itu sedikit-sebanyak menjejaskan rekod cemerlang skuad negara sejak di bawah kendaliannya.

“Tak banyak yang boleh saya katakan selain kecewa kerana pemain terlalu cuai.

“Kita bermula baik apabila mendahului 2-0 tapi mula hilang rentak dan setiap kali cuba bangkit, lawan beraksi lebih baik.

“Saya harap kekalahan ini memberi pengajaran kepada mereka dan bangkit pada perlawanan terakhir esok (hari ini),” katanya.

Skuad negara bermula baik apabila menjaringkan gol pertama seawal minit kelapan hasil pukulan penalti Faizal Saari.

Muhamad Amin Rahim menjaringkan gol kedua pada minit ke-17 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Sun Zi Xin merapatkan jurang menerusi jaringan padang minit ke-28.

Ahmad Kazamirul Nasruddin menjaringkan gol ketiga pada minit ke-30 tapi selang seminit kemudian Yue Huang merapatkan jurang sekali gus babak pertama menyaksikan Malaysia mendahului 3-2.

China berjaya menambah dua gol lagi hanya dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-56 dan minit ke-57 hasil sumbangan Long Sun dan Yang Dong.

Malaysia akan melengkapkan siri perlawanan persahabatan dengan China Liaoning hari ini. Dua perlawanan terdahulu menyaksikan skuad negara menang 2-1 dan 4-2.