Skuad hoki dihantui ‘penyakit lama’

Kuala Lumpur: Skuad hoki kebangsaan menghela nafas lega, kelmarin selepas berjaya mengelak kekalahan ketiga berturut-turut kepada tuan rumah, Afrika Selatan apabila seri 4-4 dalam siri perlawanan persahabatan di Potchefstroom.

Pada pertemuan awal Khamis lalu, Malaysia di bawah kendalian Paul Revington tewas 1-2 sebelum dimalukan 1-3 tapi menunjukkan rentak kebangkitan, kelmarin tatkala kunjungan hanya berbaki satu lagi perlawanan, hari ini.

Walaupun penguasaan babak pertama memihak kepada Malaysia yang mendahului 2-0 hasil jaringan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (minit ke-27) dan Chua Boon Huat (m-29) – namun momentum itu gagal di bawa sehingga ke akhir separuh masa kedua.

Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan jaringan ketiga Malaysia pada minit ke-43 tetapi taktikal tuan rumah mula kelihatan menjadi apabila Taine Paton bijak mengenalpasti kealpaan benteng pertahanan untuk kembali mengurangkan defisit jaringan.

Penyakit lama

Penyerang lawan, Pierre de Voux meledak jaringan kedua pada minit ke-59 sebelum menyamakan kedudukan ketika perlawanan hanya berbaki tujuh minit. Sedar kemenangan amat ditagih, Malaysia bangkit menjarakkan kedudukan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin A Jalil (m-65).

Namun, Malaysia seakan kembali dengan ‘penyakit lama’ – tewas di saat-saat akhir meskipun cemerlang di awal perlawanan – sekali gus membuka ruang Afrika Selatan menyamakan kedudukan hasil jaringan Julian Hykes pada minit ke-75.

Siri persahabatan itu adalah persediaan awal skuad negara menjelang aksi penting dalam Liga Dunia 3 di Johor pada 25 Jun hingga 7 Julai ini. Senarai nama penuh skuad yang akan mewakili negara dijadual diumum pada 14 Jun ini sebaik saja pulang dari Afrika Selatan. [BH]

One Reply to “Skuad hoki dihantui ‘penyakit lama’”

Comments are closed.