Seorang pendaki misi Everest Malaysia meninggal dunia, rakan kritikal

 

KUALA LUMPUR 4 Jun – Seorang pendaki Malaysia yang menyertai kumpulan pendaki Perbadanan Putrajaya ke Base Camp Everest dilaporkan meninggal dunia.

Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan penyakit akut ketinggian (AMS) di Banjaran Himalaya, dekat Katmandu, Nepal hari ini.

Manakala seorang lagi yang turut menyertai ekspedisi tersebut turut mengalami serangan akut yang sama dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Jurucakap Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal mengesahkan mangsa, Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, yang juga kakitangan Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang mengikuti ekspedisi anjuran PPj, sementara seorang lagi rakannya sedang dalam keadaan kritikal selepas menderita simptom sama.

Mayat mangsa difahamkan kini berada di Labuche pada ketinggian 4,100 meter dari aras laut dan operasi untuk membawa turun mangsa sukar kerana cuaca buruk.