Sarawak julang trofi Liga Perdana

KUCHING – Meskipun saingan masih berbaki satu perlawanan, Sarawak yang lebih awal menjulang trofi Liga Perdana musim ini mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Negeri, semalam.

Kemenangan itu memastikan Sime Darby yang berada di tangga kedua liga dengan 48 mata tidak lagi berpeluang memintas kedudukan skuad Bujang Senang yang mengumpul 55 mata.

Lebih membanggakan, perlawanan semalam menyaksikan skuad Bujang Senang terus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 21 perlawanan setakat ini.

Beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu hampir 20,000 penyokong, babak pertama perlawanan jelas dikuasai tuan rumah yang melancarkan banyak gerakan berbahaya.

Serangan demi serangan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada seawal minit ke-20 apabila pemain import, Muamer Salibasic yang menerima hantaran pendek Zamri Morshidi merembat kencang ke arah gawang pelawat.

Sarawak kemudiannya menggandakan asakan sehingga berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan pasukan pelawat, namun beberapa percubaan menarik anak buah Robert Alberts gagal menghasilkan jaringan sehingga babak pertama berakhir.

Peluang skuad Bujang Senang menambah jaringan hadir selepas Ronny Harun yang tidak dikawal pertahanan lawan menyepak kencang bola dari luar kotak penalti tepat ke gawang lawan pada minit ke-68.

Joseph Kalang Tie melengkapkan gol ketiga Sarawak pada minit ke-85 manakala Guy Bwele mengesahkan kemenangan 4-0.

Trofi Liga Perdana disampaikan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Kali terakhir Sarawak menjuarai Liga Perdana adalah pada 1997.