Revington tarik balik keputusan peletakan jawatan

JURULATIH  skuad negara Paul Revington telah menarik balik keputusan peletakan jawatannya dan akan terus membimbing pasukan sekurang-kurangnya sehingga pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bermula 29 Jun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu di kementeriannya di sini hari ini.
 
“Saya rasa lega dengan keputusan itu sebab beliau telah kendalikan pasukan kebangsaan dengan baik, pemain pun menghormati beliau. Kita tidak mahu momentum pasukan kita untuk pusingan Liga Hoki Dunia terjejas,” katanya.
 
Pada pertemuan 20 minit itu, Khairy berkata Revington turut bersetuju untuk mempertimbangkan keputusan terus bersama skuad kebangsaan selepas pusingan Liga Dunia itu.
 
“Menurut persefahaman antara kami, beliau mungkin akan terus (melatih) juga selepas Liga Dunia itu, cuma saya perlu bincang dengan pihak lain yang terlibat sebelum membuat ketetapan untuk beliau kekal,” katanya.

 Khairy dalam pertemuan itu juga turut memaklumkan kepada Revington bahawa beliau akan secara peribadi menangani isu itu bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
 
Beliau turut meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong untuk meneruskan perjumpaan dengan MHC berhubung perkara tersebut yang dijangka akan diadakan esok di MSN.
 
“Saya tidak mahu tidak terlalu ‘micro manage’ perkara ini. Saya memahami pandangan dan kerisauan beliau (Revington). Mengenai masa depan beliau, kita perlu tangani dengan individu yang lain yang ada dalam persatuan,” katanya.
 
Revington pada Sabtu lepas mendakwa wujud campur tangan dalam mengendalikan skuad kebangsaan terutamanya daripada jurulatih skuad jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhamad Dharmaraj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan yang mendorong beliau untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih hoki kebangsaan.
 
Revington adalah bekas jurulatih pasukan Ireland dan pernah memenangi anugerah ‘Jurulatih Terbaik Dunia 2011’ oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). – Bernama