Rajagobal tampil enam muka baru ke Australia

Kelana Jaya: Skuad 26 pemain Harimau Malaya yang terbang ke Australia, malam ini untuk tiga siri aksi persahabatan di Canberra dan Sydney bakal menampilkan enam muka baru iaitu Nazmi Faiz Mansor dan Nizad Ayub (PKNS), Saiful Nizam Miswan (Pahang), Nurul Azwan Roya (Johor DT), Faiz Subri (Kelantan) dan Nazrin Nawi (Negeri Sembilan).

Namun, seorang lagi muka baru yang dipanggil, Farid Ramli (Johor DT) tidak dapat menyertai pasukan ke Australia kerana mengalami kecederaan, senasib dengan tiga pemain utama lain – Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), Badhri Radzi (Kelantan) dan Bunyamin Umar (Selangor).

Jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal setakat ini berpuas hati dengan sikap ditunjuk empat pemain baru Nazmi, Nizad, Faiz dan Nazrin sepanjang latihan sejak Rabu lalu, manakala Saiful dan Nurul Azwan pula baru menyertai latihan, semalam selepas selesai tugasan Piala FA.

Pamer sikap baik

“Boleh nampak tanda bagus ditunjukkan pemain baru ini. Mereka beri sikap yang bagus dalam latihan, tapi semua ini akan dapat kita lihat lebih jelas apabila saya beri peluang mereka beraksi dalam tiga perlawanan di Australia nanti.

Harap mereka beri sesuatu yang positif terutama dalam membentuk keserasian dengan pemain lain, katanya ketika ditemui selepas latihan terakhir di Wisma FAM, petang semalam.

Rajagobal berkata, beliau terpaksa memanggil empat pemain senarai menunggu iaitu Nazmi, Saiful, Fauzi dan Zubir selepas empat pemain utama tidak dibawa kerana cedera.

Bagaimanapun, katanya Shakir Shaari tetap akan dibawa ke Australia kerana kecederaan buku lalinya hampir pulih dan sempat beraksi perlawanan kedua dan ketiga.

Skuad Harimau Malaya dijadual bertemu Pilihan Canberra, Khamis ini diikuti dua perlawanan menentang kelab divisyen dua Australia, Marconi Stallions (11 Jun) dan Sydney United (13 Jun) sebelum pulang ke tanah air pada 15 Jun.

Ditanya adakah akan ada perubahan saat akhir pasukan yang bakal dihadapi itu nanti, Rajagobal berkata: “Buat masa ini, semua tiga pasukan yang akan kita temui itu adalah sama seperti dalam perancangan.” [BH]