‘Rajagobal harus lebih berani’

BEKAS pemain skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abddullah mahu ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal bertindak lebih berani untuk memberikan kepercayaan kepada muka-muka baharu.

Namat berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan kedua skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan di Australia.

Semalam, anak-anak buah Rajagobal tewas 0-2 kepada kelab Australia, Marconi Stallions dalam aksi persahabatan terakhir mereka di negara itu.

Pada aksi persahabatan sulung minggu lalu, Harimau Malaya tewas 2-3 kepada Canberra FC sebelum berjaya membenam Sydney Olympic FC 4-0 Selasa lalu.

Namat memberitahu, keputusan ketiga-tiga perlawanan itu tidak harus dijadikan ukuran, sebaliknya Rajagobal perlu mencari satu ramuan terbaik dalam usaha memantapkan Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain Oktober depan.

Beliau percaya skuad kendalian Rajagobal akan bertambah ampuh jika bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu memberikan kepercayaan penuh kepada pemain-pemain baharu.

Namat yakin, persaingan sihat akan berlaku sesama pemain, sekali gus memudahkan Rajagobal untuk memilih pemain-pemain lebih berkualiti.

“Rajagobal sememangnya seorang jurulatih yang berkaliber. Cuma dalam pemerhatian saya, beliau kerap memanggil pemain-pemain yang sama.

“Saya tidak mahu menidakkan taktikal Rajagobal, tetapi jika peluang itu diberikan kepada pemain-pemain yang lebih menonjol, sudah tentu skuad kita memiliki sedikit kelebihan.

“Jadi pada pendapat saya, Rajagobal harus berani untuk memanggil lebih ramai pemain yang mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Secara tidak langsung, beliau akan mendapat lebih ramai pemain alternatif untuk diketengahkan,” kata Namat kepada Kosmo! semalam.

Skuad Harimau Malaya dijangka pulang ke tanah air petang Sabtu ini. [Kosmo]