Presiden FAM marah dengan kenyataan Khairy

Kuala Lumpur: “Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan!”

Itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berhubung kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Khairy kelmarin dilaporkan mempertikaikan keadilan FAM apabila mengekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNJ) sebagai tuan rumah walaupun mereka gagal menangani aspek keselamatan di Stadium Darul Makmur pada aksi yang sepatutnya berlangsung Selasa lalu.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya hasil kutipan tiket kepada PBNP dihadkan kerana berpeluang mengaut keuntungan lebih besar di Stadium Nasional berikutan kapasiti stadium yang boleh memuatkan 80,000 penonton.

“Kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana beliau menuduh FAM pilih kasih. Kami sebenarnya bertindak mengikut peraturan. Saya (Presiden FAM) atau PBNP tidak mempunyai kuasa kerana pemilihan gelanggang perlawanan diputuskan oleh JKPT (Jawatankuasa Pertandingan Tempatan).

“Ini negara bebas (untuk membuat kenyataan) namun biarlah memberi (kenyataan) yang bermakna,” kata Sultan Ahmad Shah pada sidang media semalam selepas mendengar taklimat mengenai aspek keselamatan di Stadium Nasional yang membabitkan 1750 anggota keselamatan.

Beliau berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya hadir daripada ‘orang yang bijak bestari.’

“Saya mengarahkan JKPT mengkaji, teliti dan mencari satu keputusan agar perlawanan dapat dilaksana secepat mungkin selepas perlawanan asal tidak dapat dilangsungkan.

“Hasilnya JKPT memutuskan perlawanan itu dimainkan di stadium berkecuali (Stadium Nasional). Ia bukan keputusan saya. Kalau saya boleh buat keputusan, memang saya mahu perlawanan itu kekal di Stadium Darul Makmur,” katanya.

Mengenai pengganti Datuk Azzuddin Ahmad sebagai Setiausaha Agung FAM, beliau menjelaskan masih belum membuat keputusan kerana ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan terlebih dulu.