Posmen disamun

Kuantan: Seorang posmen yang dalam perjalanan menghantar surat terpaksa berdepan saat mendebarkan apabila leher dan kepalanya diacu sebilah pedang samurai dan sepucuk pistol oleh dua penyamun di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, dekat si sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 24 tahun itu tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menyerahkan wang tunai RM500 yang ada dalam dompetnya kepada kedua-dua lelaki terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Aziz Ahmad berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dan sedang dalam perjalanan hendak menghantar surat, dipintas dua suspek terbabit yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana.

Menurutnya, mangsa terpaksa berhenti di tepi jalan sebelum dihampiri dua lelaki itu yang keluar daripada kenderaan sambil masing-masing memegang sebilah pedang dan sepucuk pistol. [HMetro]