Pereka grafik tarik balik saman FAM

Kuala Lumpur: Seorang bekas pereka grafik yang cedera kekal di mata kanannya kerana terkena mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak dua tahun lalu, menarik balik samannya terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tiga pihak lagi.

Ahmad Jazimin Mohd Jalaludin, 31, menarik balik saman yang difailkan beliau pada 24 Julai 2012 melalui peguamnya, Nik Mohamad Anuar Badiruddeen, di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Nik Mohamad Anuar ketika ditemui selepas prosiding berkata, Hakim Datin Yeoh Wee Siam merekodkan penarikan balik tuntutan saman anak guamnya tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa kos, dalam kamar beliau.

Tuntut ganti rugi

Selain FAM, Ahmad Jazimin turut menamakan Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat dalam tuntutan saman untuk ganti rugi berjumlah RM776,000.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Jazimin berkata, beliau mengalami kecederaan pada mata kanannya ketika menonton perlawanan bola sepak Pra-Kelayakan Piala Dunia 2014 membabitkan pasukan Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai 2011.

Plaintif berkata, beliau dan penonton lain memasuki stadium tanpa melalui sebarang saringan atau pemeriksaan badan oleh penjaga pintu masuk atau polis.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 8.45 malam itu, satu mercun jatuh di tempat duduk penonton dan meletup sehingga mengenai mata kanannya.

Gagal patuhi piawaian

Katanya, FAM gagal mematuhi piawaian dan standard penganjuran perlawanan bola sepak antarabangsa yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) sepanjang perlawanan itu.

Sementara itu, defendan kedua hingga ketiga dalam pembelaan mereka berkata, tanggungjawab keseluruhan terhadap penonton ketika perlawanan dalam stadium adalah terletak kepada FAM dan pihak mereka hanya membantu penganjur bagi memastikan kelancaran perlawanan.