Penyokong Kelantan berang kejar penjual tiket

 

KOTA BHARU: Penjualan tiket Final Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) hari ini kecoh selepas tiket yang dijual habis dalam tempoh kurang 15 minit sehingga penyokong Kelantan berang lalu menyerbu masuk ke dalam stadium dan mengejar penjual tiket.

Penjualan tiket bermula jam 9 pagi itu pada mulanya tenang, namun suasana bertukar kecoh dan tidak terkawal selepas pengumuman tiket habis dijual dibuat kira-kira jam 10.30 pagi.

Kira-kira 3,000 penyokong The Red Warriors (TRW) hadir untuk membeli tiket, namun mereka mendakwa hanya 16 tiket dijual kepada empat pembeli dalam tempoh kurang 15 minit sebelum tiket diisytiharkan habis dijual.

Penyokong bertambah berang apabila KAFA menggantikan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dengan tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang, hari ini.

Beg tiket yang dibawa penjual tiket berjaya dirampas selepas dikejar penyokong sehingga ke dalam padang, namun beg itu hanya mengandungi tiket perlawanan Liga Super berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima tiga laporan polis berhubung kekecohan yang berlaku di SSMIV.

“Kita serahkan masalah ini kepada KAFA untuk menyelesaikannya kerana kita tidak terbabit dalam penjualan tiket,” katanya. [Hmetro]