Penyamun pulang RM1 kepada mangsa

Phuket: Seorang perompak melarikan wang tunai 2,200 baht (RM225) dari sebuah kedai serbaguna di sini kelmarin, tetapi beberapa minit kemudian memulangkan syiling 10 baht (RM1) sebelum melarikan diri buat kali kedua.

Dua kerani di kedai serbaguna Family Mart, Wanna Ketkaew, 28, dan Fontip Rakrit, 25, di daerah Thalang memberitahu polis, perompak itu memakai baju hujan merah jambu, seluar pendek, topi keledar dan topeng untuk menutup mukanya.

Lelaki itu meletak motosikalnya dan berlari masuk ke dalam kedai ketika hujan lebat, kata Wanna. Dia mendekati mereka sebelum mengancam dengan pisau dan merampas 2,200 baht lalu melarikan diri.

Beberapa minit kemudian ketika kedua-dua kerani itu sibuk berbincang, perompak sama kembali memulangkan syiling 10 baht di kaunter sebelum menghilangkan diri. – Bangkok Post