Pengadil Lubnan terima rasuah seks dipenjara

Singapura: Seorang pengadil dari Lubnan, Ali Sabbagh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah Singapura selepas didapati bersalah mempengaruhi dua penjaga garisan untuk membantunya mengatur satu perlawanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Hukuman itu dijatuhkan ke atas pengadil itu semalam, dua bulan selepas tiga tertuduh itu mengaku bersalah menerima rasuah seks yang diatur oleh ahli perniagaan Singapura, Eric Ding Si Yang, berkaitan perlawanan yang diadakan pada 3 April lalu.

Kesemua tertuduh dijadualkan bertugas ketika perlawanan antara wakil Singapura, Tampines Rovers bertemu India’s East Bengal pada Piala AFC yang lalu namun ditukarkan sejam sebelum perlawanan bermula.

Penjaga garisan, Ali Eid, 33, dan Abdallah Taleb, 37, yang dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagaimanapun dibebaskan sejam kemudian selepas mahkamah mengambil kira mereka sudah menjalani hukuman di Penjara Changi sementara menunggu keputusan kes.

Eid dan Taleb dijangka meninggalkan negara republik itu, semalam. – AP