Peluang Selangor huni tiga terbaik

SELANGOR kini berada pada landasan terbaik dalam usaha memburu kelompok tiga teratas Liga Super selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Perancang Gergasi Merah, K. Gurusamy muncul sebagai wira skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.

Seperti diramal, Selangor dan ATM mempamerkan persembahan agresif sebaik perlawanan dimulakan.

Skuad Gergasi Merah terlebih dahulu menguji benteng pertahanan The Gladiators menerusi percubaan tepat daripada pemain sayap lincah, S. Kunanlan.

Bagaimanapun, penjaga gol ATM, Farizal Harun berjaya menyelamatkan percubaan Kunanlan itu pada minit ke-25.

Hasrat The Gladiators untuk mengasak benteng Selangor dilihat menemui kesulitan apabila penyerang berbisa, Marlon Alex James dilayangkan kad merah pada minit ke-34.

Ia gara-gara pemain import itu mengutip kad kuning kedua selepas pengadil, Shamsuddin Ibrahim mendakwa Marlon menggunakan tangan ketika berebut bola dengan pemain Selangor, Mohd. Nasriq Baharom.

Gergasi Merah mengambil kesempatan itu dengan melancarkan serangan ke kubu ATM dan hasilnya, Amri Yahyah membuka jaringan pertama pada minit ke-39.

Begitupun, kelebihan jaringan Selangor tidak bertahan lama apabila perancangan import The Gladiators, Bruno Sebastian Marteloto menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.

Shamsuddin memberikan sepakan penalti itu selepas tonggak pertahanan Selangor, Adam David Griffiths mengasari Christie Jayaselan pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor sekali lagi hampir mendahului permainan apabila Solihin Kanasian berjaya melepasi pertahanan ATM, namun percubaannya dinafikan Farizal pada minit ke-47.

Kedua-dua pasukan semakin terdesak untuk mencari jaringan kemenangan tetapi tiada penyudah berkesan berjaya dihasilkan.

Penantian Gergasi Merah untuk merakamkan tiga mata penuh akhirnya berbaloi apabila Gurusamy meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.