Panggil ibu, ayah ketika digilis

KUALA TERENGGANU – Atlet pelapis lumba basikal Terengganu, Muhammad Syafiq Imran Syahril, 15, maut digilis treler ketika menjalani sesi latihan bersama sekumpulan 44 atlet pelapis lain di atas jambatan Kampung Bukit Guntung, Tepoh dekat sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika kumpulan atlet pelapis basikal itu melalui jambatan di Kampung Bukit Guntung dan seorang daripada atlet itu cuba mengelak jalan tidak rata yang terdapat di laluan tersebut.

Tindakan atlet yang cuba mengelak jalan tidak rata itu menyebabkan tiga orang atlet terjatuh dari basikal masing-masing.

Mengimbas detik sebelum tragedi itu, rakan mangsa, Che Ku Mohd. Nazmie Che Ku Romli, 19, berkata, dia yang bergerak di tengah-tengah kumpulan tersebut pada mulanya terlanggar tayar belakang basikal seorang rakan yang diekori ketika melalui laluan tersebut.

“Saya dan basikal jatuh ke laluan bertentangan bersama dua rakan lain termasuk Muhammad Syafiq,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.