Pahang bengang kenyataan Khairy

Kuantan: Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengaut keuntungan daripada perlawanan tertunda separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Jun lalu, adalah berat sebelah dan tidak membina.

Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, kenyataan itu bukan sahaja mempertikaikan integriti PBNP malah seolah-olah menghukum peminat bola sepak Pahang.

Beliau berkata, PBNP bukannya organisasi yang bertujuan mengaut keuntungan kerana matlamat utama ialah membangunkan sukan bola sepak Pahang dan menarik minat rakyat terhadap sukan itu di peringkat daerah serta negeri.

Tuduhan berat sebelah

“Kami berpendapat kenyataan seumpama itu tidak seharusnya keluar daripada seorang menteri kerana selain berat sebelah dan tidak membina, ia juga boleh menjatuhkan semangat peminat Pahang.

“Namun, PBNP percaya ada kemungkinan kenyataan itu dibuat kerana ketidakpekaan atau terlepas pandang Khairy terhadap faktor semasa dan perasaan peminat.

“Kami percaya sekiranya seseorang itu berkecimpung secara terus menerus dalam sukan bola sepak, pendekatan berbeza mungkin diambil terhadap isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kenyataan itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PBNP, Rizal Chek Hashim. Hadir sama, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim; pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh dan jurulatih, Dollah Salleh.

Tengku Abdul Rahman berkata, Khairy seharusnya memberikan kritikan, cadangan dan buah fikiran positif supaya kekecohan yang berlaku di Stadium Darul Makmur tidak berulang.

Pada masa sama, katanya, negara menyaksikan kebangkitan hebat sokongan peminat bola sepak tempatan.

“Daripada menuding jari mencari kesalahan sesama kita, adalah lebih wajar untuk semua pihak berganding bahu mencari jalan supaya tahap sokongan itu semakin meningkat,” katanya. [BH]