Pablo Aimar muncul di Johor

PEMAIN Benfica, Pablo Aimar mengejutkan peminat-peminatnya di negara ini khususnya di Johor, apabila muncul di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru kelmarin.

Kehadiran pemain berusia 33 tahun itu disambut sekumpulan penyokong skuad Harimau Selatan selain pekerja-pekerja hotel tersebut.

Difahamkan, pemain yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan Argentina itu sudah beberapa hari berada di Singapura dan datang ke Johor kelmarin bagi memenuhi jemputan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Bagaimanapun, pertemuan lebih sejam Aimar bersama Tunku Ismail dikatakan hanya berkisar mengenai negeri Johor selain mengundang pemain yang berasal dari Rio Cuarto, Argentina itu untuk mengenali Johor lebih dekat pada masa akan datang.

Pada pertemuan itu juga tiada perbincangan mengenai urusan membawa pemain itu menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT).

Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan PBNJ berhasrat untuk mendapatkan khidmat Aimar untuk beraksi dalam Liga Malaysia bersama Johor DT.

Aimar atau lebih dikenali dengan gelaran The Clown telah membuat lebih 50 penampilan di pentas antarabangsa selain pernah beraksi dalam dua pusingan akhir Piala Dunia.

Dia juga pernah beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semasa mewakili Argentina pada Piala Remaja Dunia FIFA 1997 yang menyaksikan Argentina muncul juara.

Aimar yang pernah muncul pemain muda terbaik Argentina, memulakan kariernya bersama River Plate pada 1995 sebelum menyertai Valencia pada 2001-2006, Real Zaragoza (2006-2008) dan Benfica 2008 hingga kini.

Kontraknya di Benfica dikatakan berakhir tahun depan.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee Afandi yang turut menyambut kedatangan Aimar di hotel itu berkata, sebagai peminat bola sepak, dia gembira dengan kehadiran ikon bola sepak terkemuka ke negeri Johor.

“Kedatangan Aimar atas jemputan Tunku Mahkota Johor. Apa yang dibincangkan pun kami tidak tahu. Apa yang pasti, kami teruja dapat berjumpa dengan pemain itu,” katanya. [Kosmo]