Neymar mahu buktikan kepada La Roja

RIO DE JANEIRO – Neymar bukan saja bersemangat untuk membantu Brazil merangkul kejuaraan hatrik Piala Konfederasi apabila menentang Sepanyol dalam final esok, malah mahu menunjukkan demonstrasi awal tentang kehebatannya kepada peminat La Roja sebelum membuat penampilan sulung pada saingan La Liga bersama Barcelona, musim depan. 

Bintang penyerang itu bakal menjadi tarikan utama Liga Sepanyol musim depan, namun sebelum menjadi pemain ‘kesayangan’ Barca dia mahu terlebih dulu menjadi orang yang mengecewakan peminat negara itu dengan menumpaskan mereka dalam pertembungan di antara dua pasukan terbaik dunia.

“Kami akan bermain untuk keluarga, kawan-kawan dan yang paling penting untuk Brazil. Kami amat bersedia untuk menghadapi pertarungan yang dianggap sangat bersejarah kerana menemukan dua pasukan terbaik dunia.

“Kita harus mempertahankan negara kita,” kata Neymar, 21, bintang baharu yang mampu menggerunkan penyandang juara dunia dan Eropah, Sepanyol apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Maracana, Rio.

Menurut Neymar lagi, perlawanan esok menjadi tumpuan kerana kedua-dua pasukan bakal melakar sejarah jika menang. Brazil, juara tiga kali mampu menjadi pasukan pertama mencipta hatrik jika muncul juara, manakala Sepanyol memburu gelaran pertama.

Malah, bagi Neymar, kemenangan juga menjadi tonik terbaik buat Brazil untuk merangkul Piala Dunia keeenam apabila menjadi tuan rumah buat kali pertama sejak 1950 tahun depan, sambil menghantar mesej kepada pencabarnya bahawa skuad Selecao yang baharu sudah muncul.

Sepanyol pula turun dengan rekod 29 perlawanan tanpa kalah dan mencari trofi keempat selepas Euro 2008 dan 2012 serta Piala Dunia 2010. – AFP