Neymar kelapan termahal dalam sejarah bolasepak

BARCELONA: Neymar menjadi pemain kelapan termahal dalam sejarah bola sepak apabila berpindah ke Barcelona dengan nilai 57 juta euro, hari ini, sekali gus menyaksikannya bergabung dengan Lionel Messi sebagai rakan penyerang.

Neymar menandatangani kontrak lima tahun dengan Presiden Barcelona, Sandro Rosell selepas memilih kelab itu daripada Real Madrid yang menyaksikan kedua-dua kelab terkaya Sepanyol membida pemain itu sejak dua tahun lalu.

 
Naib Presiden Barcelona, Josep Bartomeu mendedahkan, kelab itu dijadual membayar 40 juta euro, tetapi ‘campur tangan kelab lain’ menyebabkan harga pemain itu melambung.

Ketika ini mendahului nilai Neymar ialah Cristiano Ronaldo, Zinedine Zidane, Zlatan Ibrahimovic, Kaka, Luis Figo, Hulk dan Fernando Torres.

Sebelum ini, Barcelona membayar yuran perpindahan tertinggi ialah kepada Inter Milan untuk mendapatkan Ibrahimovic sebanyak 45 juta euro (AS$64 juta) pada 2009 dengan menukar Samuel Eto ke Inter.

Sebaik perjanjian dicapai, penyerang berusia 21 tahun itu berjoging di dalam padang Stadium Camp Nou untuk kali pertama dengan memakai jersey tertera di belakangnya “Neymar Jr”.

“Saya amat gembira, gembira menjadi pemain Barcelona dan impian saya tercapai,” kata Neymar kepda 56,500 penyokong di dalam stadium yang menunggu penampilannya. – AP