Nazmi Faiz tidak fikir tekanan

PETALING JAYA – Setelah beberapa bulan pulang ke Malaysia, akhirnya nama pemain muda sensasi negara, Mohd. Nazmi Faiz Mansor disenaraikan buat kali pertama dalam skuad Harimau Malaya.

Walaupun sekadar berada dalam senarai menunggu pada mulanya namun rezeki menjadi milik pemain berusia 18 tahun apabila kecederaan beberapa pemain utama seperti Mohd. Badhri Radzi dan Khyril Muhymeen membuka pintu buatnya.

Kehadirannya dalam pasukan kebangsaan pasti menjadi perhatian utama ramai peminat setia Harimau Malaya tetapi bekas pemain S.C Beira Mar ini sama sekali tidak menganggap itu akan menjadi satu tekanan buatnya untuk menampilkan sentuhan terbaik.

“Bagi saya tiada istilah mahu berasa tertekan atau bebanan bermain dengan pasukan kebangsaan.
“Saya hanya mahu berikan fokus kepada latihan serta perlawanan persahabatan nanti.

“Syukur kerana rezeki untuk bersama pasukan kebangsaan akhirnya ada dan saya akan mencurahkan segala apa yang saya mampu dan berharap mampu menambat hati jurulatih untuk berada di dalam skuad utama, ” katanya ketika ditemui sebelum berangkat ke Australia, semalam.

Malahan, dia tekad membuktikan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di Portugal tahun lalu bukan satu tindakan yang sia-sia.

“Ini adalah peluang terbaik bagi saya dan menunjukkan apa yang saya belajar di sana (Portugal) boleh membantu pasukan kebangsaan.

“Segala kontroversi dulu (meninggalkan Beira-Mar secara mengejut) sudah lama berlalu dan saya kini hanya mahu menumpukan karier saya di sini serta bersama pasukan kebangsaan, ” katanya.

Sementara itu, penyerang Harimau Malaya, Safee Sali, tidak menganggap masalah jarang bermain ketika bersama pasukan Johor Darul Takzim sebagai satu perkara yang boleh menghalang peluangnya beraksi dengan Harimau Malaya.

“Daripada segi stamina untuk bermain dalam satu perlawanan, saya akui memang terasa kekurangan tetapi itu bukan masalah buat saya sekarang.

“Apa yang mustahak, saya mahu mencari kembali keyakinan semula ketika bersama pasukan kebangsaan dan saya rasa inilah kesempatan terbaik, ” katanya.

Safee yang memilih untuk menyarung jersi Johor DT musim ini sering kali dipinggirkan berada dalam kesebelasan utama berbanding seorang lagi pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Leonel Nunez yang menggantikan tempat Daniel Guiza pada pertengahan musim.