Man Kecik ditembak mati

Sungai Buloh: Hanya enam hari selepas menembak paha seorang pemilik kedai tayar dalam cubaan menyamun di Bandar Sri Damansara, seorang lelaki dikenali sebagai Man Kecik, 30, maut ditembak polis di Tanah Perkuburan Islam Paya Jaras Hulu, di sini, manakala dua rakannya sempat melarikan diri, awal pagi semalam.

Lelaki berkenaan yang dipercayai mempunyai lima rekod jenayah lampau dan terbabit dalam lebih 10 kes antaranya membunuh, memiliki senjata api dan samun bersenjata dikatakan sempat melarikan diri sejauh kira-kira tiga kilometer selepas sepasukan polis menyerbu rumah sewanya di Kampung Paya Jaras Hulu, kira-kira jam 12 tengah malam.

Dalam serbuan itu, dua rakan lelaki itu ditahan, manakala tiga lagi lelaki termasuk Man Kecik sempat melarikan diri sebaik menyedari rumah sewa mereka diserbu polis.

Namun tindakan suspek utama itu melarikan diri dikesan anggota polis di tanah perkuburan kampung berkenaan sebelum berlaku tembak menembak, kira-kira jam 1.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, polis melepaskan dua das tembakan mengenai dada suspek. Dua rakannya bagaimanapun sempat meloloskan diri. [Hmetro]