LCW mahu Kim Her lebih bertanggungjawab

Kuala Lumpur: Pemain paling senior badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menggesa ketua jurulatih beregu Tan Kim Her menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab menangani masalah prestasi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Pemain nombor satu dunia yang ditemui selepas majlis pengumuman pelantikannya sebagai Duta Gere di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yakin masih ada masa untuk gandingan itu bangkit di Kejohanan Dunia di Guangzhou, China pada Ogos.

“Saya baik dengan Kien Keat dan kami sering bercerita, malah saya sering bertanya kepadanya mengenai masalah yang mereka hadapi. Ketua jurulatih mesti buat keputusan betul, begitu juga BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Saya kasihankan Paulus (Firman) apabila dipersalahkan kerana beliau baru dilantik dan tidak mampu berbuat apa-apa selain tidak tahu situasi sebenar dihadapi Kien Keat-Boon Heong sebelum ini,” kata Chong Wei.

Meskipun Kien Keat sering dilabel bermasalah, Chong Wei yakin masih ada ruang untuk Kien Keat-Boon Heong mengatasi segala kemelut membabitkan mereka.