Latihan di Australia: FAM nafi ada yang raih habuan

KUALA LUMPUR 11 Jun – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan kononnya ada individu atau pihak tertentu yang meraih habuan menerusi kem latihan dan perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya di Australia.

FAM dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa beberapa prosedur perlu dipatuhi sebelum keputusan dibuat berhubung program latihan berkenaan.

Pada peringkat pertama, permohonan bagi tujuan kem latihan di luar negara akan dikemukakan ketua jurulatih dengan persetujuan pengurus pasukan kepada Sekretariat FAM.

Sekretariat FAM seterusnya mempersembahkan permohonan serta anggaran perbelanjaan kepada Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan-Pasukan Kebangsaan, Sultan Ahmad Shah untuk diperkenan baginda.

“Hanya selepas diluluskan Tuanku Presiden FAM dan sesuai dengan kemampuan kewangan FAM, barulah pasukan kebangsaan akan membuat persediaan selanjutnya untuk kem latihan di luar negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa prosedur sama dipraktikkan untuk semua pasukan bola sepak kebangsaan.

“Jadi adalah sama sekali tidak berasas untuk mana-mana pihak mendakwa bahawa ada individu atau pihak tertentu membuat keputusan secara tersendiri (berhubung kem latihan di luar negara),” katanya. – BERNAMA