Lapan sebab Mourinho digelar Special One

Jose Mario dos Santos Mourinho Felix atau lebih sinonim dengan nama Jose Mourinho amat berpengaruh dalam sukan bola sepak dekad ini malah sentuhannya sebagai jurulatih bersama beberapa pasukan seperti Porto, Chelsea dan Real Madrid memberi kesan yang mendalam.

Lahir dalam keluarga sederhana di Setubal, Portugal, Mourinho atau terkenal dengan nama timangan ‘The Special One’ pula berjinak-jinak dalam tugas jurulatih selepas mengikut bapanya Felix Mourinho menjadi jurulatih.

Ketika itu Mourinho yang masih lagi kanak-kanak sudah mula melihat bapanya mengendalikan latihan dan memantau kekuatan pasukan lawan menyebabkannya mula tertarik dengan tugas jurulatih serta permainan bola sepak.

Itulah sejarah awal pembabitan Mourinho sehingga dia menjadi seorang berpengaruh dan terkenal dengan kepakaran menyusun strategi namun pemerhati bola sepak telah menyenaraikan lapan sebab mengapa dia digelar ‘Special One’.

Pertama, dia adalah seorang ‘pemenang’ selepas beberapa rekod telah dicatatkannya.

Sejak memulakan karier sebagai jurulatih pada 2002, Mourinho telah memenangi dua kejuaraan Liga Juara-Juara, satu kejuaraan Piala UEFA, tujuh kejuaraan liga dan 10 piala lain di Portugal, England, Itali dan Sepanyol.

Melihat kepada ratio yang dicatatkan sepanjang 13 tahun menjadi jurulatih Mourinho telah mencatatkan 67.9 peratus kemenangan.

Dia juga mempunyai kekuatan tersendiri untuk memenangi perlawanan besar.

Contohnya sejak 2004 dia menjadi jurulatih Porto, Chelse, Inter Milan dan Real Madrid pasukannya telah 16 kali bertemu Manchester United dalam pelbagai kejohanan dan dia telah mencatatkan 44 peratus kemenangan berbanding Alex Ferguson.

Faktor kedua adalah kerana dia sudah lama menjadi pelajar sukan bola sepak. Dia hadir dalam keluarga yang memiliki pengetahuan bola sepak kerana bapanya seorang jurulatih. Pada usia 20-an, Mourinho telah memasuki Institut Superior Educacao Fisica, Universiti Teknikal Lisbon.

Dia mempelajari sains sukan, serta komponen utama dalam bola sepak iaitu psikologi. Dia juga telah menyertai kursus kejurulatihan di England dan Scotland sebelum mendapat lencana kejurulatihan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Ketiga, adalah disebabkan etika kerjanya, setiap fenomena kejayaan yang dilakukannya di beberapa kelab Eropah adalah kerana dia seorang yang bekerja keras. Dia kebiasaannya bekerja selama 16 jam sehari.

Dia mahu setiap pemain mengikut cara kerjanya, sentiasa berlatih melebihi masa, malah setiap persediaan yang dilakukannya sebelum perlawanan sentiasa melebihi waktu yang ditetapkan.

Sebab keempat ialah dia merupakan ‘savoir faire’ ataupun bermaksud ‘tahu bagaimana’.

Pengetahuan taktikal yang dimilikinya sangat mendalam. Dia sangat berani menggunakan taktik dengan lebih mendalam.

Mourinho mengetahui kekuatan dan kelemahan setiap pemainnya. Dia akan menyiapkan profil pemain dengan lengkap termasuk dari segi personaliti, kemampuan atletik dan kemahiran teknikal.

Kelima, dia merupakan seorang yang cerdik, dia juga pemikir yang hebat. Semuanya adalah disebabkan kelebihannya mempelajari sains sukan, pendidikan fizikal dan psikologi di peringkat universiti.

Dia akan menggunakan kecerdikan ini untuk memahami pemain dan persekitaran, semuanya dapat dilihat melalui temuramah di televisyen serta sidang media.

Faktor keenam, Mourinho mempunyai daya kepimpinan yang tinggi ia telah diterjemahkan melalui kekuatan dan keyakinannya yang luar biasa.

Dia merupakan seorang yang berkarisma dan memberi inspirasi kepada pemain bahawa mereka mampu untuk menempa kejayaan.

Mourinho pernah berkata, apabila pemain fikir mereka kuat anda harus mempercayainya kerana ia membantu mereka untuk mempunyai sikap yang bagus.

Kekuatan psikologi pula adalah antara faktor ketujuh ‘Special One’, apabila mampu memahami pemain dan dia adalah seorang yang hebat membaca fikiran pemain, merasai dan tahu bagaimana seseorang itu berkelakuan.

Ketujuh, Mourinho merupakan seorang yang pintar dalam pengurusan, dia percaya setiap jurulatih perlu mempunyai segalanya, taktikal, motivasi, psikologi kerana dia menggelarkan bola sepak adalah satu subjek sains.

Dia juga merupakan seorang yang pakar dalam berkomunikasi, semuanya dapat dilihat bagaimana dia mengawal sidang media, memberitahu semua orang tentang idea dan keupayaannya dalam mentadbir pasukan bola sepak.

Mourinho belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan setiap pemain untuk membantu mereka memberi persembahan terbaik.

Akhir sekali, dia merupakan seorang yang mempunyai keghairahan dalam bola sepak, semua itu menjadi nyawa dan nafasnya. Keghairahannya menyebabkan dia sangat mencintai setiap permainan dan percaya tentang apa yang disukainya bakal memberi kesan mendalam dalam hidupnya.