Kim Swee bengang dengan sikap pemain negara

PEMAIN muda negara nampaknya masih belum ada keberanian untuk bergelar sebagai pemain profesional di negara orang.

Memori hitam yang ‘dilakar’ pemain muda berbakat, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang meninggalkan kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar secara mengejut pada bulan Februari lalu, masih belum dapat dilupakan pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee.

Lebih mengejutkan, Kim Swee tidak dimaklumkan langsung mengenai tindakan Nazmi Faiz meninggalkan bumi Portugal itu untuk kembali ke tanah air bagi menyertai PKNS Selangor dalam saingan liga tempatan.

Kim Swee mengakui kecewa dengan tindakan Nazmi Faiz selepas bersusah payah mendidik mereka dengan harapan, bakat mereka dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Namun, impian tersebut hanya tinggal mimpi.

Kini, Kim Swee berdepan situasi yang sama apabila pemain sayap lincah kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor dilaporkan bakal meninggalkan negara matahari terbit itu.

Kim Swee berkata, kelab Divisyen Tiga Jepun itu telah mengesahkan terdapat percubaan daripada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berhasrat untuk menebus kontrak Wan Zack sekali gus membawa pemain kelahiran Pahang itu kembali ke tanah air.

Usaha ‘di belakang tabir’ pasukan-pasukan terbabit dilihat bakal merencatkan usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sebelum ini bertungkus lumus untuk memberi pendedahan kepada barisan pemain muda negara di luar negara.

Justeru, Kim Swee melontarkan amaran bahawa beliau tidak akan membenarkan pemian muda negara menimba pengalaman di luar negara sekiranya budaya ini berterusan.

“Jika Wan Zack mengambil keputusan untuk meninggalkan FC Ryukyu, jangan haraplah kita akan menghantar pemain muda untuk beraksi di luar negara selepas ini.

“Saya mahu tanya, negara mana di dunia ini yang persatuan bola sepak (FA) mereka berjaya melahirkan pemain-pemain muda yng berbakat?

“Adakah Lionel Messi dilahirkan oleh FA Argentina?

“FA England juga tidak bertanggungjawab melahirkan pemain hebat seperti Wayne Rooney? Mereka (pemain) ini dilahirkan oleh kelab masing-masing menerusi program pembangunan kelab yang mereka wakili sejak usia muda.

“Budaya tersebut tidak berlaku di negara kita. Pasukan negeri jarang melahirkan pemian muda berbakat. FAM yang bersusah payah melahirkan pemain muda, dan selepas itu, ada pihak pula yang cuba ‘tikam belakang’,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan Wan Zack, 22, yang mula mempamerkan sengatnya pada aksi pertamanya April lalu, kini berhasrat meninggalkan FC Ryukyu kerana dikatakan mengalami masalah komunikasi dengan pegawai perubatan kelab. [Kosmo!]