Khairy hanya mahu jumpa presiden BAM

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan berjumpa Majlis Exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membincangkan prestasi buruk badminton selain gagal melahirkan pelapis pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

“Biarlah, saya mahu tunggu BAM selesaikan pemilihan kepimpinan baru. Lebih baik saya jumpa pemimpin baru daripada bertemu Nadzmi (Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh), lagipun Nadzmi menyatakan tidak mahu bertanding,” kata Khairy.

Beliau menegur BAM dan membuat kenyataan untuk bertemu kepimpinan badan induk badminton negara itu selepas Malaysia kalah 2-3 kepada Taiwan dan Jerman di Piala Sudirman yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, bulan lalu.

Sementara itu, beliau menganggap Chong Wei sebagai contoh atlet terbaik yang memandang serius aspek sains sukan.

“Chong Wei contoh terbaik atlet yang menitik beratkan aspek sains sukan, sebab itu pada usia 30 tahun dia masih mampu bersaing di peringkat tertinggi,” kata Khairy menjawab persoalan mengenai kesedaran atlet terhadap kepentingan sains sukan.

Selain berpendapat kesedaran atlet terhadap kepentingan sains sukan masih rendah, beliau bagaimanapun memandang serius terhadap kesedaran jurulatih.

“Bagi saya kesedaran jurulatih terhadap sains sukan lebih kritikal berbanding atlet. Mereka perlu percaya kepada pendekatan sains sukan kerana sukan moden banyak bergantung kepada kemajuan aplikasi sains sukan.

“Saya pasti Institut Sukan Negara (ISN) tidak menghalang atlet melakukan persediaan melalui latihan biasa namun keperluan daripada segi psikologi, ‘conditioning’ badan dan fisiologi juga perlu diberi perhatian, baik jurulatih mahupun atlet.

“Setakat ini saya diberitahu jurulatih dan atlet gemar menonton ulang tayang video saja. Persiapan pemakanan dan semua perkara disebut tadi amat penting sebelum kejohanan.” Justeru beliau memberi jaminan akan memberi sokongan padu kepada ISN.

“Kami dalam fasa akhir penyediaan pelan strategik sukan negara 2013-2020 bagi mewujudkan Institut Sukan bertaraf antarabangsa menjelang 2020. Banyak penambah baik ISN termasuk pertambahan kakitangan dan kepakaran akan dilakukan.

“Selain itu, saya akan mempengerusikan satu jawatankuasa bersama KBS dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan sistem seragam di sekolah seluruh Malaysia. “Jawatankuasa ini juga akan memainkan peranan mengenal pasti bakat di peringkat umur lebih muda, jika boleh kita ambil mereka pada usia lebih muda.

“Satu sistem seragam meliputi latihan dan pembangunan atlet membabitkan sains sukan akan didedahkan sejak sekolah rendah lagi.”