Kelantan mahu 3 mata

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak bersedia memperjudikan nasib pasukannya apabila beliau tampak tersepit merangka strategi terbaik bagi menghadapi dua perlawanan penting dalam tempoh lima hari.

Biarpun aksi final Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT), Sabtu ini lebih bernilai untuk dipertahankan buat Kelantan namun pengendali dari Croatia itu menegaskan, perlawanan dengan Pahang pada aksi Liga Super malam ini juga tidak kurang pentingnya.

Jika dicongak, peluang skuad The Red Warriors itu mengekalkan gelaran Liga Super sudah tertutup kerana ketinggalan 10 mata dengan pendahulu LionsXII yang mengumpul 39 mata ketika aksi berbaki tiga perlawanan.

Namun tiga mata penuh ke atas Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV tetap dicari Hodak kerana mahu memastikan juara bertahan itu mampu menamatkan kempen di kedudukan terbaik.

Justeru, beliau sanggup menurunkan barisan terbaik menentang skuad kendalian Dollah Salleh itu walaupun bakal berdepan risiko pemain mengalami kecederaan, kepenatan dan mungkin digantung perlawanan untuk aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya tidak boleh tukar ramai pemain dan tidak akan merehatkan mereka melainkan yang mengalami kecederaan.

“Setiap perlawanan penting kerana kami mahu menamatkan saingan liga di tempat terbaik,” kata Hodak ketika sesi latihan semalam.

Bukan mudah untuk Kelantan menundukkan Pahang yang menduduki tangga kelima, satu anak tangga mengatasi mereka memandangkan tumpuan pemain tuan rumah kini terganggu.
“Perlawanan dengan Pahang ini sukar kerana pemain saya lebih memberi tumpuan kepada final Piala FA.

“Saya terpaksa mengarahkan pemain supaya menghadapi perlawanan liga ini seperti final Piala FA kerana setiap perlawanan yang kita lalui penting.” Semua pemain Kelantan bebas daripada penggantungan kecuali dua penyerang, Dickson Nwaekame dan Indra Putra Mahyuddin yang masih belum cergas bagi perlawanan malam ini.