‘Kamu macam binatang’

Johor Bahru: “Si mati insan kerdil yang tidak mengerti apa-apa namun kamu menekup mulut dan tekak hingga dia lemas dan membakar mayatnya. Kamu memang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Laporan terdahulu di sini dan di sini.

Demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru Datuk Abdul Halim Aman, semalam ketika menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muidin Maidin, 25, selepas didapati bersalah membunuh Nurul Nadirah Abdullah, 4, atau Dirang, pada Mac tahun lalu.

Beliau menyifatkan lelaki itu memiliki nafsu umpama binatang dan sanggup melakukan apa saja bagi memuaskan nafsunya, justeru, dia amat bahaya jika berada dalam kalangan masyarakat.

“Hanya ada satu hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kamu dan saya memerintahkan kamu digantung di leher sampai mati,” katanya di akhir penghakiman.

Muidin didakwa membunuh Dirang di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai, di sini, antara jam 11.30 pagi, 1 Mac dan 12 tengah malam, 2 Mac tahun lalu. [Hmetro]