Johor DT siakan peluang, NS tergelincir ke Liga Perdana

JOHOR BAHRU – Johor Darul Takzim gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 pada saingan Liga Super menentang Felda United, tatkala pendahulu liga Lions XII juga menerima nasib yang sama ditambat 1-1 bertemu Perak.

Keputusan seri itu juga menyaksikan Johor Darul Takzim hilang tempat kedua kepada Selangor yang mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PKNS dari segi kelebihan jaringan.

Sementara itu, Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas mereka tewas 1-2 kepada T-Team dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, meskipun tanpa enam tonggak utama, Johor DT masih mampu menguasai perlawanan dan pemain gantian mereka, Muhd. Haidin Azman menceriakan para penyokong apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-64 selepas menolak masuk bola hantaran Nurul Azwan Roya.

Bagaimanapun, harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh berkecai apabila Felda United menyamakan kedudukan pada minit ke-83 selepas pemain gantian, Rudie Ramli berjaya menanduk masuk hantaran lintang Mohd. Azmi Muslim.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah berjaya menghalang hasrat pelawat, Lions XII untuk membawa pulang tiga mata penuh, Perak berada di depan pada minit ke-59 melalui Paulo Rangel namun Shahfiq Ghani berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Lions XII pada minit ke-77.

Berlaku sedikit kekecohan di penghujung perlawanan apabila pemain kedua-dua pasukan saling tolak-menolak antara satu sama lain.

Di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 untuk melonjak ke tangga kedua namun mereka dikejutkan dengan jaringan tuan rumah, Nizad Ayub pada minit ke-14 sebelum Mohd. Raimi Mohd. Nor menambah dua gol pada minit ke-63 dan 70.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, pula Kelantan berjaya menumpaskan Pahang 2-0. Ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi menjaringkan gol pertama pada minit ke-45 dan gol kedua daripada Muhammad Zamri Ramli selepas pemain tersebut menyudahkan susulan rembatan rakan sepasukan Mohd. Nor Farhan yang berjaya diselamatkan oleh Khairul Azhar sebelum itu.

Keputusan lain menyaksikan ATM dan Terengganu seri 1-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, gol tuan rumah dijaringkan Christie Jayaselan pada minit ke-65 dan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-79 melalui, Farderin Kadir.