Isu Revington dianggap selesai

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong (gambar kecil) menganggap isu peletakan jawatan jurulatih skuad hoki senior negara, Paul Revington telah selesai.

Dalam satu perjumpaan khas dengan Revington, jurulatih skuad remaja negara, Muhd. Dhaarma Raj Abdullah dan Pengarah Program Pembangunan 1MAS, Lim Chiow Chuan di MSN, Bukit Jalil semalam, Zolkples berkata, semua pihak yang terbabit telah bersetuju untuk memberi tumpuan terhadap tugas masing-masing.

Zolkples turut mengesahkan bahawa Revington akan meneruskan semula tugasnya membimbing skuad senior negara sehingga pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru hujung bulan ini.

Bagaimanapun, Zolkples berkata, masa depan jurulatih dari Afrika Selatan itu selepas kempen tersebut berakhir masih belum dipastikan.

“Perkembangan dalam perjumpaan tadi (semalam) saya rasa semuanya berjalan dengan baik dan semua pihak yang terlibat telah memberi persetujuan untuk memberi fokus terhadap pasukan masing-masing.

“Revington bersedia meneruskan tugasnya sehingga Liga Hoki Dunia di Johor, Dhaarma pula akan memberi tumpuan terhadap Piala Dunia Remaja di New Delhi, Disember depan manakala Lim akan terus dengan program pembangunan.

“Cuma apa saya boleh katakan, semuanya telah selesai buat masa ini. Kita tengok saja apa yang berlaku nanti selepas Liga Hoki Dunia di Johor nanti,” jelas Zolkples ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Revington yang dilantik mengendalikan skuad senior negara Julai tahun lalu, telah menarik balik peletakan jawatannya setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Putrajaya.

Situasi tersebut pastinya melegakan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang masih menagih khidmatnya setelah jurulatih terbaik dunia 2011 itu berjaya memperbaiki prestasi pemain negara sepanjang tempoh kurang setahun beliau membimbing skuad senior negara.

“Dalam perjumpaan tadi (semalam), saya dapati sebenarnya tiada isu besar yang timbul, kalau ada pun semuanya boleh diselesaikan di peringkat dalaman.

“Mengenai e-mel ugutan yang diterima oleh Revington daripada Lim pula semuanya telah diselesaikan dua atau tiga bulan lalu, jadi saya pun hairan mengapa ia dibangkitkan semula.

“Apa pun, saya telah memberi amaran kepada mereka supaya jangan lagi membuat kenyataan mengenai pasukan orang lain dan kalau ia berlaku lagi, saya akan mengambil tindakan yang tegas,” tambah Zolkples.

Mengenai Jawatankuasa Kejurulatihan MHC yang turut terlibat dalam isu Revington, Zolkples menambah: “Saya hairan bagaimana Manjit (Majid Abdullah, Pengarah Jawatankuasa Kejurulatihan MHC) boleh buat keputusan mereka sendiri. Mereka tidak boleh membelakangi ahli lembaga yang lain.

“Bagaimanapun, hanya MHC yang boleh menarik balik keputusan peletakan jawatan Revington, MSN tiada hak campur tangan dalam isu itu.”