Isu FAM: KJ mahu semua buka lembaran baru

SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan agar semua pihak yang terlibat dalam polemik dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka lembaran baru berikutan kesudian Timbalan Presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk berbincang mengenai masa depan sukan itu.

Beliau berkata dengan adanya komitmen daripada Tengku Abdullah dan Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya yakin isu berkenaan akan dapat diselesaikan tanpa melalui media.

“Saya juga akan membincangkan perkara ini dengan bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan mungkin terpaksa sekali lagi menghadap Tengku Mahkota Johor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) 2012 di sini malam tadi.

Beliau berharap semua pihak dapat membuka lembaran baharu berikutan adanya kesungguhan untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesai polemik yang timbul.

“Saya nampak Tengku Mahkota Pahang amat terbuka dan harap Hamidin pun akan terbuka kerana kita nak lihat perubahan di FAM dan saya yakin Tengku Mahkota Pahang boleh bawa perubahan itu,” katany.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai polemik berlanjutan membabitkan kewibawaan FAM sebagai badan induk sukan bola sepak negara berikutan mendapat kritikan hebat daripada beberapa pentadbir sukan sebelum ini termasuk beliau, Annuar, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor dan Shahidan.

Mengenai perjumpaannya dengan Tengku Abdullah, Khairy berkata beliau masih belum menetapkan tarikhnya dan akan menghadap Timbalan Presiden FAM itu apabila baginda mempunyai kelapangan.

Semalam, Tengku Abdullah berkata baginda bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Khairy mengenai soal masa depan bola sepak negara pada bila-bila masa.

Baginda berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khairy pada 19 Jun lepas yang hanya mahu bertemu dengan mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan untuk berbincang mengenai isu berkenaan.

Khairy dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia untuk berjumpa dengan pegawai tertinggi badan induk bola sepak negara itu seperti Tengku Abdullah dan bukannya menerusi media tempatan.  – Bernama